
Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan memaklumkan perkara itu adalah susulan keputusan kerajaan hari ini untuk melaksanakan pelarasan tarif elektrik bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) secara bersasar dalam tempoh tersebut.
Bagaimanapun, pengguna domestik dengan unit penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj 2.11 sen per kWj, menurut suruhanjaya itu.
Kenyataan itu menyebut pengecualian surcaj ICPT kepada pengguna bukan domestik dalam kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) turut dikekalkan, manakala pengguna bukan domestik lain akan mengalami penurunan kadar surcaj daripada 10.04 sen per kWj kepada 2.11 sen per kWj.
Katanya, penetapan tarif untuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dilaksanakan melalui kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang merangkumi dua komponen utama iaitu tarif asas dan kadar ICPT.
“Tarif asas kekal dalam tempoh kawal selia IBR yang disemak setiap tiga tahun. Namun, kadar ICPT diselaraskan setiap enam bulan bergantung kepada perubahan kos bahan api bagi penjanaan elektrik.”
ICPT merujuk kepada mekanisme bawah IBR yang membolehkan kos bahan api diselaras setiap enam bulan berdasarkan kadar turun naik harga global bahan api.
Menurut Suruhanjaya Tenaga, pelarasan bagi tempoh enam bulan itu mengambil kira perbezaan antara kos bahan api dan kos penjanaan elektrik sebenar berbanding kos yang diunjurkan dalam penetapan kadar tarif asas SESB.
Katanya, sebarang perbezaan antara kos dan unjuran dalam tempoh itu bagaimanapun akan dilepaskan dalam bentuk rebat atau surcaj melalui bil elektrik pengguna.
Kenyataan itu menyebut peningkatan ketara kos bahan api menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 13% berbanding yang diunjurkan dalam penetapan tarif asas, justeru memberi impak kepada terhadap kos ICPT dan tarif elektrik secara amnya.
Menurut Suruhanjaya Tenaga, bagi mengurangkan impak pelarasan bersasar itu kepada pengguna, kerajaan memperuntukkan RM54.3 juta sebagai subsidi kepada kategori pengguna yang terlibat.