
Menurut kenyataan di Facebook IPD Barat Daya, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya semalam, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.
“Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa seorang wanita berusia 57 tahun menerima panggilan telefon (daripada seorang lelaki) yang mendakwa daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkan dia mempunyai cukai tertunggak, namun mangsa menafikannya.
“Talian itu kemudiannya disambungkan kononnya kepada seorang pegawai polis sebelum dimaklumkan mangsa mempunyai rekod jenayah berkaitan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram, ia menyebabkan wanita tersebut panik serta mengikut arahan suspek,” kata kenyataan itu.
Katanya wanita itu kemudiannya memindahkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun bank milik dan telah mengisi maklumat perbankan ke dalam borang yang diberikan oleh suspek yang mengaku sebagai pegawai polis berkenaan.
Selepas dua bulan, wanita yang bekerja kilang di Bayan Lepas itu membuat semakan dan mendapati semua wang simpanan sebanyak RM432,725 dalam akaun bank itu dipindahkan secara berperingkat ke dalam akaun yang tidak dikenali.
Katanya, susulan laporan mangsa polis menjalankan siasatan lanjut dan risikan sebelum berjaya menahan lelaki terbabit yang bekerja sendiri bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 35 tahun semalam kerana disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket pinjaman wang dalam talian yang tidak wujud sehingga menyebabkan seorang lagi mangsa kerugian RM19,530.
Katanya mangsa berusia 36 tahun itu memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM19,530 tetapi wang pinjaman tidak diperoleh.
“Dua lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kedua-dua kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya yang siasatan lanjut masih dijalankan.