
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata, pertambahan jumlah kenderaan dijangka berlaku secara berperingkat sejak 27 Jun hingga 3 Julai ini.
“Jumlah purata peningkatan trafik harian di seluruh lebuh raya mampu mencecah sehingga 5.1 juta transaksi kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjelang perayaan Aidiladha di Kawasan R&R Dengkil (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hari ini.
Nanta berkata, daripada jumlah tersebut, purata harian trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka mencapai sehingga dua juta kenderaan, manakala di Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 masing-masing mencecah sehingga 170,000 dan 60,000 kenderaan sehari.
Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya, dan syarikat konsesi telah diarahkan untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi meminimumkan kesan negatif peningkatan trafik.
Beliau berkata, syarikat konsesi diminta memastikan tiada kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula 24 Jun hingga 3 Julai, serta mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.
Tambahnya, pihak PLUS akan mengaktifkan laluan “smart lane” atau laluan kontra di beberapa lokasi, berdasarkan keperluan dan kesesuaian, bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik.
Langkah-langkah lain termasuk meningkatkan pengurusan pengoperasian dengan menambah sehingga 20% petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas di plaza tol dan anggota Rela, memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik, dan menempatkan petugas untuk memberikan bantuan kepada pengguna yang bermasalah.
Nanta berkata, pihaknya juga akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepat tempoh tindakan menangani sebarang insiden di lebuh raya.
Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, katanya, Pusat Pengurusan Trafik (TMC) LLM akan beroperasi 24 jam pada 28 Jun dan 2 Julai bagi membantu pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat trafik terkini.
Dalam pada itu, Nanta berkata, bagi mengatasi kesesakan laluan RFID, kakitangan akan disediakan dengan pengimbas mudah alih bagi melancarkan trafik.