Kapak ibu: Anak mengaku tak salah, diperintah jalani rawatan psikiatri

Kapak ibu: Anak mengaku tak salah, diperintah jalani rawatan psikiatri

Tertuduh dilaporkan menetak kepala ibunya berkali-kali, selepas mangsa memarahinya kerana membuat bising.

Majistret mengarahkan Lim Seng Chai menjalani rawatan psikiatri selama sebulan di Hospital Permai, selepas dia mengaku tidak bersalah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Muar memerintahkan seorang lelaki yang didakwa membunuh ibunya menggunakan kapak menjalani rawatan psikiatri selama sebulan di Hospital Permai, Johor Bahru.

Menurut Harian Metro, perintah itu dikeluarkan atas permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, selepas Lim Seng Chai, 47, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Tan Choo Gek, 73, menggunakan kapak di Taman Temiang Utama, antara 7 hingga 8.20 malam pada 18 Jun lalu.

Terdahulu, media melaporkan tertuduh mengambil kapak dan menetak kepala ibunya berkali-kali, selepas mangsa memarahinya kerana membuat bising.

Warga emas itu ditemui mati berlumuran darah di ruang tamu rumah, dan tertuduh ditahan pada hari kejadian. Siasatan polis mendapati dia memiliki rekod lampau rawatan psikiatri.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nabihah Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.