Jaminan kerajaan untuk Felda struktur semula pinjaman

Jaminan kerajaan untuk Felda struktur semula pinjaman

Kementerian Kewangan memaklumkan sebahagian besar penstrukturan itu akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.

Menurut Kementerian Kewangan, Jaminan Kerajaan itu dijangka dapat menstabilkan kedudukan kewangan Felda.
PUTRAJAYA:
Satu perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah ditandatangani untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.

Kementerian Kewangan MoF dalam kenyataan memaklumkan sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda itu akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.

Ia juga akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan Felda memberi pemansuhan 80% hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021, menurut MoF.

“Jaminan Kerajaan ini dijangka dapat menstabilkan kedudukan kewangan Felda serta menjamin model perniagaan yang lebih mampan supaya ia terus berupaya mengangkat mobiliti sosial warga peneroka dan generasi baharu Felda,” menurut MoF bahawa Jaminan Kerajaan itu ditandatangani oleh perdana menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, kerajaan telah bersetuju memberi Jaminan Kerajaan kepada Felda pada 2019 bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihannya di bawah program transformasi yang telah bermula pada 2020 untuk tempoh lima tahun.

Dalam pada itu, MoF memaklumkan kerajaan telah menambah baik tata kelola penyaluran dana kepada Felda sebagai agensi badan berkanun kerajaan dengan melantik AmanahRaya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun.

“Ia bagi memastikan pelan transformasi Felda berada di landasan yang tepat serta memenuhi keperluan akauntabiliti dan integriti,” menurut MoF.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.