Hentikan politik lapuk yang memecah-belah, Syed Saddiq beritahu Dr M

Hentikan politik lapuk yang memecah-belah, Syed Saddiq beritahu Dr M

Presiden Muda itu berkata demikian susulan dakwaan bekas PM itu bahawa segelintir golongan bukan Melayu mahu menukar 'nama dan pemilikan' Malaysia.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Dr Mahathir Mohamad, beliau kenal ramai orang bukan Melayu yang menganggap Malaysia satu-satunya tanah air mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sudah tiba masanya untuk politik lapuk yang memecahbelahkan rakyat atas dasar kaum atau agama ditinggalkan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Muda itu berkata demikian susulan laporan Malaysiakini yang memetik bekas perdana menteri itu mendakwa segelintir golongan bukan Melayu mahu menukar “nama dan pemilikan” Malaysia.

Syed Saddiq menerusi hantaran di Twitter berkata, rakyat Malaysia semua kaum dan agama menyayangi tanah air secara sama rata dan mahu negara menjadi maju dan ditadbir dengan baik.

“Saya tidak kenal mana-mana (orang) bukan Melayu pun hari ini yang mahu tukar nama negara. Saya kenal ramai yang anggap Malaysia sebagai satu-satunya tanah air mereka.

“Tun (Mahathir), politik lapuk yang memecah-belah mesti dihentikan,” kata Syed Saddiq, yang pernah menjadi menteri belia dan sukan bawah pentadbiran Pakatan Harapan pimpinan Mahathir.

Awal hari ini, Mahathir dilaporkan mendakwa terdapat percubaan orang “dari negara lain” untuk mengubah Malaysia daripada “Tanah Melayu” menjadi sebuah negara berbilang kaum.

Mahathir, yang juga bekas presiden Umno dipetik berkata, “orang ini” tidak mengiktiraf orang Melayu sebagai “pengasas dan pembangun” Malaysia.

Rakan separti Syed Saddiq, Lim Wei Jiet, turut mengecam Mahathir atas kenyataannya, menyifatkannya sebagai “(kenyataan) karut yang rasis”.

Pengasas bersama Muda itu menegaskan bahawa orang bukan Melayu tidak mahu mengambil alih Malaysia mahupun menukar namanya.

“Kami hanya mahu hidup aman dan memastikan anak-anak kami mendapat peluang yang bagus dalam hidup,” katanya di Twitter.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi dari DAP Syahredzan Johan menuduh Mahathir sengaja mencetuskan permusuhan kaum dengan kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.