Bapa maafkan guru kurung anak dalam sangkar besi

Bapa maafkan guru kurung anak dalam sangkar besi

Bapa kepada murid Tahun 1 menerima penjelasan guru terbabit dalam pertemuan hari ini.

Gambar sangkar besi yang didakwa seorang murid Tahun 1 dikurung oleh guru di sebuah sekolah di Negeri Sembilan.
PETALING JAYA:
Kejadian seorang murid Tahun 1 yang dikurung dalam sangkar besi di sebuah sekolah di Rembau, Negeri Sembilan dianggap selesai selepas bapanya menerima permohonan maaf guru terbabit.

Ketua Polis Rembau Hazri Mohamad berkata bapa murid itu diberi penjelasan daripada guru terbabit dalam pertemuan yang turut dihadiri pegawai pendidikan daerah serta polis.

Menurutnya, dalam kejadian 8.30 pagi Selasa lalu itu, guru lelaki berumur 43 tahun berkenaan mendenda murid terbabit kerana kesalahan disiplin dengan meletakkannya di ruang pameran persatuan pencegahan dadah sekolah, berbentuk seperti sangkar besi.

“Bapa mangsa telah menerima penjelasan guru tersebut dengan baik dan telah memaafkannya,” katanya yang menjelaskan tiada laporan polis dibuat keluarga murid itu.

Semalam, FMT melaporkan, seorang pengguna Twitter Azuan Abd Ghafar memuat naik tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp antara seorang bapa dengan guru di sekolah terbabit.

Dalam perbualan tersebut, seorang bapa bertanya adakah benar anaknya diasingkan daripada rakan sekelas lain dalam sebuah bilik berjaring.

Bapa murid itu mendesak guru memberi penjelasan mengapa anaknya dikurung dalam sangkar itu.

Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang memberitahu FMT, beliau akan menyiasat dakwaan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.