
Ketua Polis Kuala Pilah, Amran Mohd Gani berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Pilah menyerbu sebuah rumah di Kampung Gemencheh Ulu pada 6.30 pagi Isnin lalu susulan maklumat dadah.
Katanya, seorang lelaki berusia 30-an ditahan dalam serbuan itu.
“Susulan serbuan pertama, lebih kurang 7.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah membuat serbuan di dua lokasi berbeza di Johol dan membuat tangkapan dua lelaki lingkungan usia 40-an.
“Pemeriksaan ke atas semua tangkapan itu menjumpai pelbagai senjata api turutan, peralatan membuat senapang angin serta peluru hidup yang disimpan dengan menyalahi undang-undang,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, dua laras senapang angin, satu laras senapang patah buatan sendiri, sepucuk pistol angin, 116 butir peluru hidup jenis penabur, dua butir peluru hidup saiz .0.38 special, sepasang gari, sebutir bom asap, sebutir bom ikan buatan sendiri dan pelbagai peralatan membuat senjata dirampas.
Katanya, semua rampasan dan tangkapan dibawa ke IPD Kuala Pilah untuk tindakan lanjut, dengan semua suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.