Pasangan kekasih dituduh bunuh warga emas

Pasangan kekasih dituduh bunuh warga emas

Noorbaizura Mohd Fuad dan Muhammad Faris Amjad Jamalludin didakwa secara bersama menyebabkan kematian seorang warga emas pada 9 April lalu.

Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 24, turut tidak mengaku salah dalam dua kes merompak.
MELAKA:
Sepasang kekasih didakwa atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Noorbaizura Mohd Fuad, 34, dan Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 24, dituduh secara bersama menyebabkan kematian terhadap Tan Kue Seng, 71, di tepi Jalan Gapam, Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah antara 7 hingga 9 pagi, 9 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang membawa hukuman mati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret Mazana Sinin, yang kemudiannya menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Faris Amjad mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merompak.

Lelaki itu didakwa telah merompak sebuah beg tangan milik Syahida Ain Saripudin, 34, di tempat meletak kereta di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Kesidang 3/11, Taman Kesidang dalam daerah Melaka Tengah pada 5.25 pagi, 8 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 392 kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Faris Amjad juga didakwa telah melakukan rompak dengan meragut sebuah beg sandang mengandungi dokumen penting, telefon bimbit, dan wang tunai RM1,200 daripada Yoong Mee Yong, 69, dan semasa melakukan perbuatan merompak tersebut dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Laksamana 1, Taman Kota Laksamana, dalam daerah Melaka Tengah pada 11.05 malam, 22 Mac lalu dan pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Siva Shangari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Darmafikri Abu Adam menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.