
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keputusan Muda kelihatan “emosi dan gopoh”, mungkin tidak mengambil kira kesan jangka panjang terhadap masa depan politiknya.
Katanya, ia memandangkan blok politik utama negara iaitu Pakatan Harapan-Barisan Nasional dan Perikatan Nasional akan memperoleh bahagian terbesar undi, meninggalkan Muda bersendirian.
“Kita boleh meramalkan Muda akan kalah mudah dalam PRN akan datang kerana mereka tidak mempunyai blok (politik) dengan mereka, dan juga kerana mereka dianggap terlalu gopoh dan emosi (ketika membuat keputusan),” katanya kepada FMT.
“Sudah pasti Muda tidak akan mendapat sebarang kemenangan dominan dalam pilihan raya, dan mereka akan berdepan risiko tinggi untuk tidak relevan lagi.”
Ditanya mengenai kesan jangka panjang lain, beliau berkata sukar bagi Muda bekerjasama dengan PH pada masa hadapan kerana ia tidak mempunyai “semangat kesetiaan”.
“Mereka juga dilihat sebagai pihak yang melihat sesuatu daripada perspektif sempit,” katanya sambil menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak matang”.
Muda sudah memohon menyertai PH sebelum PRU15 November lalu, tetapi belum ada perkembangan mengenai perkara itu, atau rundingan kerusi bagi enam PRN akan datang.
Semalam, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata partinya akan bertanding secara solo, mewujudkan pertembungan dengan PH dan BN walaupun ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada blok kerajaan di Dewan Rakyat.
Syed Saddiq juga menolak tanggapan Muda memutuskan untuk bertanding solo kerana perbincangan kerusi yang gagal dengan PH, menyatakan “tiada perkara seperti itu berlaku”.
Mengkritik PH kerana reformasi yang perlahan, beliau berkata Muda bersetuju bahawa tumpuan kepada naratif politik baharu lebih penting daripada jumlah kerusi yang mungkin diperuntukkan PH kepada mereka.
Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata ia bukan langkah bijak untuk Muda bertanding solo memandangkan prestasinya dalam pilihan raya sebelum ini yang disifatkannya sebagai “sangat teruk”.
Azmi juga menyatakan pengundi muda tidak akan percaya dengan naratif Muda tentang “politik baharu” kerana mereka masih tidak mempunyai keyakinan terhadap parti.
“Bukan sahaja (semasa) PRN Johor (pada Mac 2022), tetapi selepas itu pada PRU15 (pada November 2022), prestasi Muda sangat teruk. Mereka tidak menunjukkan bahawa mereka mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi muda,” katanya.
“Walaupun mereka bekerjasama dengan PH pada PRN Johor dan PRU15, keyakinan terhadap parti (rakyat) masih belum ada, sebab itu sukar untuk mereka menjual naratif mereka.”
Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Muda tidak “terlalu gopoh” dalam membuat keputusan bertanding solo pada PRN, sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, kepimpinan Muda mesti mempertimbangkan semula keputusannya demi kepentingan negara dan rakyat di enam negeri itu, sambil menambah usaha kerajaan persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim juga perlu diterapkan di peringkat negeri.