
Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, William Ng, berkata pertubuhan mewakili kira-kira 3,000 ahli itu belum menerima sebarang maklumat mengenai cadangan cukai berkenaan, yang diumumkan dalam belanjawan tahun ini.
Menurut kerajaan, butiran akan diberikan bulan ini, tetapi Ng berkata, beliau berharap kerajaan tidak akan meneruskannya.
Beliau berkata, eksperimen cukai pelancong di United Kingdom menunjukkan bahawa pelancong, walaupun yang mewah, sensitif terhadap harga dan akan pergi ke destinasi membeli-belah lebih berpatutan.
“‘Cukai pelancong’ yang dihentikan di UK itu, dalam bentuk pemulangan cukai untuk pelancong, tidak mendapat sambutan peruncit di sana, termasuk jenama mewah.
Ng berkata, jutaan ringgit dibelanjakan oleh pemain industri untuk mempromosikan Malaysia sebagai syurga membeli-belah bagi pelancong, dan mengenakan cukai barangan mewah akan menjejaskan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Seorang jurucakap Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (Micci) berkata, kelewatan memberikan maklumat mengenai cukai itu menunjukkan kerajaan tidak semberono seperti kebanyakan dasar sebelum ini.
“Saya juga harap kelewatan ini disebabkan mereka sedang mengadakan libat urus dengan (pemain) industri,” katanya kepada FMT.
Jurucakap itu juga berkata, cukai tersebut bermasalah kerana sukar untuk menentukan apa yang dianggap sebagai produk atau perkhidmatan mewah.