Kompaun seluar pendek, pemimpin Bersatu kecam MPKB

Kompaun seluar pendek, pemimpin Bersatu kecam MPKB

Sasha Lyna Abdul Latiff berkata Majlis Perbandaran Kota Bharu 'tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pakaian atau moral' individu.

Seorang wanita berusia 35 tahun dilapor diberikan notis oleh MPKB semasa pemeriksaan di kedainya kerana memakai baju-T dan seluar pendek di tempat awam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mengecam Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kerana mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita bukan Islam susulan “berpakaian tidak sopan”, selain menganggap tindakan itu “salah dan menyalahi undang-undang.”

Timbalan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latiff, berkata MPKB “tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pakaian atau moral”.

“Pertama, Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 tidak sah, kerana ia melebihi kuasa diberikan kepada majlis bawah Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk membuat undang-undang kecil.

“Seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan hanya membenarkan majlis membuat undang-undang kecil berkaitan ‘kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan’,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, New Straits Times melaporkan seorang pemilik perniagaan berusia 35 tahun diberikan notis oleh MPKB semasa pemeriksaan di kedainya kerana mengenakan baju-T dan seluar pendek di tempat awam.

Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin, dilaporkan berkata wanita itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019, yang menyatakan pemilik perniagaan bukan Islam dan pekerja bukan Islam mereka perlu “berpakaian sopan”.

Menurut notis kompaun yang tular di media sosial, wanita itu mempunyai tempoh tujuh hari menyelesaikan denda atau berdepan tindakan undang-undang.

Sasha juga mendakwa, perkataan “sopan” dalam Seksyen 34(2)(b) adalah kabur dan boleh ditafsirkan secara berbeza.

“Tidak adil untuk mengenakan kompaun kepada wanita tersebut apabila definisi kesalahan tidak jelas,” katanya yang menambah standard dikenakan ke atas wanita Islam, iaitu menutup aurat, tidak boleh terpakai kepada bukan Islam.

Sasha berkata, untuk membuktikan pakaian tersebut “tidak sopan” memerlukan tahap ketidaksopanan tertentu yang melebihi sekadar memakai baju-T dan seluar pendek, seperti separuh bogel.

“Ini jelas tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata, langkah terbaik adalah majlis tempatan membatalkan kompaun itu dan menangguhkan operasi Seksyen 34(2)(b) sementara menunggu ulasan pihak berkuasa negeri atau exco.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.