Harakah mohon maaf, tarik balik laporan dakwa Razali penasihat Guan Eng

Harakah mohon maaf, tarik balik laporan dakwa Razali penasihat Guan Eng

Setiausaha politik Lim Guan Eng menuntut lidah rasmi PAS menarik balik laporan itu dalam tempoh 48 jam atau berdepan saman fitnah.

Lidah rasmi PAS HarakahDaily mendakwa bekas ahli DAP Razali Rahman sebelum ini berkhidmat sebagai penasihat Lim Guan Eng.
PETALING JAYA:
Lidah rasmi PAS, HarakahDaily memohon maaf selepas mendakwa bekas ahli DAP yang menyertai parti itu pernah berkhidmat sebagai penasihat khas kepada Lim Guan Eng ketika Lim menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Ia berkata laporan itu ditarik balik selepas dimaklumkan beberapa maklumat adalah tidak tepat.

“HarakahDaily kesal atas kecuaian ini dan dengan setulus hati memohon maaf kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan pihak yang berkaitan serta menarik balik penyiaran (laporan itu),” katanya.

Laporan itu mendakwa bekas ahli DAP Razali Rahman pernah berkhidmat sebagai penasihat khas kepada Lim. Ia juga mendakwa Razali pernah memegang jawatan lain seperti timbalan ketua Pemuda DAP Pulau Pinang, dan sebagai setiausaha publisiti DAP.

Setiausaha politik Lim, Wong Hon Wai, semalam menafikan Razali berkhidmat sebagai penasihat khas kepada Lim.

Wong berkata, Razali juga tidak pernah memegang sebarang jawatan lain dalam parti atau dalam kerajaan Pulau Pinang seperti dilaporkan Harakah.

Beliau menuntut Harakah menarik balik laporan itu dan memohon maaf kepada Lim dalam tempoh 48 jam atau berdepan saman fitnah.

Razali menyertai DAP pada 2008 tetapi dipecat pada 2011 apabila beliau mendakwa parti itu dibiayai oleh Israel. Beliau juga menuduh DAP mempunyai “konspirasi menjadikan Malaysia negara Kristian” untuk mengambil alih Putrajaya.

Pada 2016, parti itu mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan bahawa Razali berkhidmat sebagai penasihat khas Lim semasa Lim menjadi ketua menteri Pulau Pinang dari 2008 hingga 2018.

Harakah berkata, editorialnya menggunakan rekod sedia ada dan tidak mengemas kini kesahihan berkenaan daripada makluman dikemukakan DAP pada 2016 mengenai status jawatan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.