Demonstrasi bantah ‘Tanah Kesultanan’, wakil Orang Asli Johor mohon ampun

Demonstrasi bantah ‘Tanah Kesultanan’, wakil Orang Asli Johor mohon ampun

Tiga Tok Batin berkata demonstrasi yang dilakukan bulan lalu 'memalukan' dan 'menconteng arang' kepada Orang Asli.

Pada 8 Mei, lebih 200 Orang Asli berhimpun di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar membantah cadangan meletakkan tanah rizab Orang Asli di negeri itu di bawah kategori ‘Tanah Kesultanan’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Beberapa wakil masyarakat Orang Asli di Johor Bahru menyatakan kekesalan mereka serta memohon maaf kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, susulan tindakan segelintir masyarakat itu berdemonstrasi di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor bulan lalu.

Wakil Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Kemidak, Hadi Baya berkata, tindakan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) itu, disifatkan tidak mewakili keseluruhan masyarakat berkenaan di negeri itu, yang dianggarkan seramai 20,000 orang.

“Apa yang dilakukan JPOAJ bukanlah budaya kami dan dibimbangi memberi gambaran negatif dalam kalangan masyarakat.

“Kami juga memohon untuk menghadap Tuanku Sultan bagi menyatakan kekesalan kami dan memohon keampunan dan menunjukkan sokongan kami kepada baginda, yang sentiasa mengambil berat kebajikan masyarakat Orang Asli Johor selama ini,” katanya menurut Bernama.

Hadi berkata, mereka akan sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan negeri dan persekutuan, bagi pembangunan masyarakat Orang Asli daripada semua sudut termasuk pendidikan, sosial ekonomi dan pembangunan.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Berasau, Kluang, Sari Achu berkata, tindakan berdemonstrasi itu, disifatkan “memalukan” masyarakat orang asli.

“Kami memang tidak setuju (demonstrasi), lagi pun itu bukan budaya kami, janganlah rosakkan nama Orang Asli,” katanya.

Tok Batin KOA Kangkar Senangar, Batu Pahat, Lim Abdul Rahman pula berkata, terdapat cara lain bagi masyarakat itu menyuarakan pandangan atau ketidakpuasan hati, berbanding berdemonstrasi yang beliau umpamakan sebagai “menconteng arang” di muka Orang Asli.

“Kami memang tidak setuju (demonstrasi), bila dia kata (demonstrasi) mewakili Orang Asli, seolah-olah mewakili kami semua sedangkan kami tidak pernah bersetuju tindakan tersebut, jadi malulah kami,” katanya.

Jumaat lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Zahari Sarip, dipetik sebagai berkata, sebarang perbincangan berhubung status dan cadangan mewartakan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah ‘Tanah Kesultanan’ perlu menerusi meja bulat dan bukan secara terbuka, kerana dikhuatiri ada pihak akan mengambil kesempatan.

Pada 16 Mac lalu, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan berikutan ada segelintir Orang Asli menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan, untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

Baginda percaya terdapat orang luar yang menjadi dalang dalam hal tersebut dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan.

Justeru, baginda turut menggesa kepada kerajaan supaya meletakkan semula kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah ‘Tanah Kesultanan’, supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

Susulan itu, lebih 200 Orang Asli negeri ini berhimpun di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, untuk menyerahkan memorandum membantah cadangan menjadikan tanah adat Orang Asli sebagai Tanah Kesultanan, pada 8 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.