Tak pernah culas bayar cukai, Hamzah mahu saman pemfitnah

Tak pernah culas bayar cukai, Hamzah mahu saman pemfitnah

Ketua pembangkang itu berkata beliau turut menghabiskan ribuan ringgit membayar konsultan bagi menguruskan cukainya.

Hamzah Zainudin berkata ada pihak sengaja mereka cerita beliau tidak membayar cukai.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin berkata beliau tidak pernah culas membayar cukai setiap tahun, malah turut menghabiskan ribuan ringgit membayar konsultan bagi menguruskan cukai.

Ahli Parlimen Larut itu berkata beliau baru-baru ini disiasat Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) yang datang ke rumah untuk menyiasat dakwaan kegagalannya membayar cukai.

“Isu saya tidak bayar cukai tidak timbul sama sekali kerana setiap tahun saya bayar cukai. Saya guna konsultan dan berhabis ribuan ringgit untuk buat cukai.

“Mereka sengaja mengeluarkan cerita mengatakan saya tidak membayar cukai,” katanya menurut Harian Metro pada ceramah pelancaran jentera pilihan raya PN Kelantan, malam tadi.

Ketua pembangkang itu turut menegaskan beliau tidak pernah mengambil wang judi daripada mana-mana pihak dan memberi amaran akan menyaman pihak memfitnahnya.

Katanya, beliau difitnah sehingga diserang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di mana hasil pemeriksaan agensi antirasuah itu tidak menemui wang terbabit.

“Saya nak maklum dengan nama Allah, saya tidak pernah mengambil duit judi dengan sesiapa pun, inikan pula untuk beri kepada rakan-rakan.

“Akhirnya bila tiada kes rasuah, ada pihak burukkan saya hingga terpaksa mencari masalah baharu, iaitu berkaitan LHDN baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, beliau akan menyelesaikan perkara itu dengan pihak berkuasa dan pada masa mengumpul maklumat untuk menyaman individu memfitnahnya.

Sebelum ini, media melaporkan kediaman Hamzah di Damansara diserbu LHDN atas dakwaan berkaitan cukai tidak dilaporkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.