Projek stesen minyak tanpa subsidi diperluas ke Kelantan, Perak

Projek stesen minyak tanpa subsidi diperluas ke Kelantan, Perak

Menteri KPDN Salahuddin Ayub berkata, pihaknya turut meninjau kawasan di Johor yang bersempadan dengan Singapura.

Salahuddin Ayub berkata, projek stesen minyak tanpa subsidi dilihat membantu dalam mengurangkan ketirisan bahan api bersubsidi.
PETALING JAYA:
Projek rintis stesen minyak tanpa subsidi yang dilaksanakan di Perlis akan diperluas ke Kelantan dan Perak, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, pihaknya sedang meninjau lokasi stesen minyak tanpa subsidi di dua negeri itu.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mengkaji negeri-negeri seperti Johor, Sabah dan Sarawak bagi projek sama yang dilihat membantu dalam mengurangkan ketirisan bahan api bersubsidi.

“Menerusi projek rintis di dua stesen minyak di Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis, kita dapat jimat hampir RM6 juta peruntukan subsidi minyak kerajaan,” katanya, lapor Berita Harian, selepas Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan dan Pelancaran ITTV e-Learning Rahmah di Kempas, Johor Bahru.

“Sekarang kita beralih kepada zon timur, iaitu di sepanjang sempadan Kelantan dan Perak. Kita juga meninjau di Johor yang bersempadan dengan Singapura, kalau ada tempat sesuai untuk dibangunkan pam petrol menjual bahan bakar tanpa subsidi bagi kegunaan warga asing.

“Kita juga melihat tempat baharu dan KPDN buat tinjauan di Sabah dan Sarawak … saya lihat dengan pembangunan di Kalimantan (sempadan Sarawak-Indonesia), sudah pasti akan terdapat kesan melimpah pembangunan ekonomi dan perlu ada pam petrol kita yang menjual minyak tanpa subsidi (di sana).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.