PH Johor tak tuntut jawatan Exco negeri

PH Johor tak tuntut jawatan Exco negeri

Pengerusi PH Johor Salahuddin Ayub berkata, pihaknya yakin dengan kestabilan politik Johor bawah pimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Pengerusi PH Johor Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak mendesak apa-apa jawatan di negeri itu kerana menganggap kestabilan politik lebih penting. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Pakatan Harapan (PH) Johor tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam barisan Exco kerajaan negeri walaupun pada peringkat pusat, PH dan Barisan Nasional (BN) bergabung membentuk kerajaan perpaduan.

Pengerusi PH Johor Salahuddin Ayub berkata, ini kerana pihaknya yakin dengan kepemimpinan dan kestabilan politik Johor bawah pimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi ketika ini.

“Setakat ini, PH tidak mendesak apa-apa, sebab kita lihat kestabilan politik di Johor lebih penting. Kewujudan kerajaan perpaduan pada peringkat pusat menyebabkan peranan ketua pembangkang (di Johor) diubah kepada ketua pengimbang.

“Walaupun kita (PH) bukan sebahagian daripada kerajaan Johor, banyak program libat urus boleh diadakan bersama dengan menteri besar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran iTTV e-Learning Rahmah di sini hari ini.

Adun Simpang Jeram itu berkata demikian mengulas dakwaan akan berlaku rombakan dalam barisan Exco kerajaan negeri Johor, dengan beberapa nama akan digantikan.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, rundingan akan dibuat melibatkan agihan jawatan peringkat akar umbi negeri agar turut melibatkan wakil PH.

Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah berkata, langkah itu bagi memastikan Adun PH diberi peluang untuk terlibat sama dalam pembangunan di negeri itu.

Ketika PRN Johor pada Mac tahun lepas, BN meraih kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu.

Pada pilihan raya itu, PH memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (tiga), dan PKR serta Muda masing-masing satu kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.