Kertas siasatan pegawai mabuk, tunjuk isyarat lucah dirujuk ke Bukit Aman

Kertas siasatan pegawai mabuk, tunjuk isyarat lucah dirujuk ke Bukit Aman

Pada 17 Jun lalu, seorang pegawai polis berusia 35 tahun ditahan kerana disyaki memandu melawan arus dalam keadaan mabuk dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis di Jalan Cheras.

Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin berkata pihaknya merujuk kes itu kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman untuk tindakan lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung seorang pegawai polis disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis sudah diserahkan kepada Bukit Aman.

Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin berkata pihaknya merujuk kes itu kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan itu dihantar minggu lalu dan kita sedang menunggu maklum balas Bukit Aman.

“Pegawai perundangan akan meneliti siasatan itu sama ada perlu penambahan untuk lengkapkan lagi siasatan atau sebaliknya,” katanya menurut Harian Metro pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita Taman Bukit Cheras.

Dalam kejadian 17 Jun lalu, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis di Jalan Cheras.

Zam Halim dilaporkan berkata, polis peronda sedang bertugas dekat persimpangan lampu isyarat Pudu Ulu menghala Maluri pada 4.10 pagi melihat sebuah Perodua Myvi dipandu melawan arus.

Katanya, polis kemudian mengejar dan menahan kereta itu di persimpangan lampu isyarat menghala Flat Sri Sabah.

Pemeriksaan mendapati suspek memandu dalam keadaan mabuk dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis semasa pemeriksaan, selain tidak memberi kerjasama sehingga berlaku pergelutan semasa tangkapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.