
Beliau yang juga menteri kewangan berkata amalan tidak bertanggungjawab lalu yang menyebabkan jumlah hutang meningkat tidak akan diteruskan.
“Kita (dalam Kabinet) kata jangan lagi berhutang kerana siapa akan tanggung? Ia telah membebankan kita dan anak-anak,” katanya berucap pada majlis anjuran kementerian kemajuan desa dan wilayah di Negeri Sembilan.
Beliau berkata negara telah berhutang sejak sekian lama bermula ketika pentadbiran perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein pada 1970an. Bagaimanapun, hutang itu berdasarkan keperluan untuk memajukan negara.
“Hutangnya untuk apa? buka tanah, buka FELDA, untuk pembangunan luar bandar.
“Bukan hutang buat projek mega dengan kos melampau-lampau, komisen lebih sehingga membebankan ekonomi.”
Anwar berkata, Felda, Risda dan Mara tidak akan wujud hari sekiranya Razak tidak membuat pinjaman memandangkan organisasi terbabit ditubuhkan membabitkan pembiayaan Bank Dunia.
Pada 1971, Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) menyaksikan penubuhan beberapa agensi kerajaan seperti Felda, Risda dan Mara untuk membantu golongan miskin dan Bumiputera luar bandar.
Pada Januari lalu, Anwar berkata hutang negara telah mencecah RM1.5 trilion dan memerlukan tindakan segera untuk menanganinya memandangkan jumlah itu melebihi 80% daripada KDNK.