
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kejatuhan nilai mata wang ringgit dipengaruhi oleh kadar faedah negara yang terlalu rendah, dan jika kerajaan menaikkannya terlalu tinggi, ia akan membebankan syarikat-syarikat kecil dan sederhana.
“Kalau saya ada RM1 juta, saya hendak masuk ke bank. Saya ada pilihan antara Malaysia, Singapura dan Indonesia. Singapura dan Indonesia ada kadar faedah tinggi.
“Jadi saya pilih simpan untuk di luar (Indonesia dan Singapura). Itu masalah kita sekarang,” katanya pada Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan seorang pelajar Tingkatan Enam yang ingin tahu tindakan kerajaan dalam memulihkan kembali nilai mata wang negara.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, walaupun berdepan dengan kejatuhan nilai ringgit, pertumbuhan ekonomi negara terus menyaksikan peningkatan pada suku pertama tahun ini mengatasi Singapura, Indonesia dan China.
“Pelaburan kita baik, RM71 bilion untuk empat bulan pertama. Cuma kita kena cari jalan untuk bawa balik pelaburan dengan beberapa insentif,” katanya.
Beliau memberi contoh antaranya cadangan membangunkan hab kewangan di Johor dan program Malaysia Rumah Keduaku MM2H, serta beberapa cadangan lain yang sedang dipertimbangkan kerajaan, untuk membawa masuk aliran wang ke negara ini.
Bagaimanapun, Anwar mengakui usaha untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negara ini tidak mudah
Pelabur asing masih mempunyai persepsi dan keraguan terhadap kestabilan negara, katanya, berikutan terdapat desas-desus yang mengatakan akan berlakunya peralihan kerajaan pada Ogos.