Cadangan pinda undang-undang kerakyatan paling teruk sejak Merdeka, kata LFL

Cadangan pinda undang-undang kerakyatan paling teruk sejak Merdeka, kata LFL

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek berkata ia akan menjadi 'hari malang' bagi Parlimen dan negara jika pindaan itu diluluskan.

Zaid Malek berkata, antara cadangan pindaan itu membabitkan enakmen yang ketika ini melindungi individu daripada status tiada kerakyatan.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik cadangan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung undang-undang kerakyatan.

Pengarah LFL Zaid Malek menyifatkan pindaan itu yang didedahkan dalam mesyuarat semalam dengan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) “tidak diragui paling teruk sejak Merdeka”.

“Jika pindaan ini diluluskan, ia akan menjadi hari malang bagi Parlimen dan negara,” katanya dalam kenyataan.

Zaid berkata, antara cadangan pindaan itu membabitkan pemansuhan Seksyen 1(e) Jadual Kedua Bahagian 2, yang ketika ini melindungi individu daripada status tiada kewarganegaraan.

“Pindaan ini akan memusnahkan hidup ramai individu tanpa kerakyatan di Malaysia, termasuk kanak-kanak dan mereka yang lahir serta dibesarkan di negara ini sejak beberapa generasi, tetapi dinafikan MyKad biru akibat kurang dokumentasi betul.”

Satu lagi pindaan yang membimbangkan, katanya, berkaitan Seksyen 19B Jadual Kedua Bahagian 3, yang akan melucutkan hak anak dipelihara, seperti kanak-kanak diabaikan ibu bapa selepas lahir atau yatim piatu, mendapat kerakyatan.

“Sebaliknya, mereka akan bergantung kepada belas kasihan Kementerian Dalam Negeri untuk mendapat kewarganegaraan.”

Zaid berkata, cadangan ini mengetepikan keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan pada 2021 yang memberi kerakyatan kepada seorang remaja diabaikan ibu kandung selepas lahir, tetapi dijadikan anak angkat oleh satu pasangan warganegara Malaysia.

Justeru, beliau menggesa rakyat, CSO dan pembangkang membantah pindaan itu, manakala kerajaan pula perlu menarik balik pindaan itu.

Februari lalu, Jemaah Menteri bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi kanak-kanak dilahirkan ibu Malaysia di luar negara mendapat kerakyatan secara automatik.

Tetapi, kerajaan memfailkan rayuan bulan lalu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kelahiran kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.