
Menteri komunikasi dan digital itu berkata, inisiatif PerantiSiswa bertujuan membantu dan memastikan kelancaran proses pembelajaran mahasiswa dan pelajar B40.
“Di Kelantan, seramai 29,609 penerima inisiatif PerantiSiswa telah dikenal pasti dan hingga kini 24,525 tablet telah diedarkan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan “Jelajah Saya Digital 2023 di Kelantan” dekat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kampus Machang, lapor Bernama.
Berhubung program tersebut, Fahmi berkata, “Kempen Saya Digital” diadakan bagi mempersiapkan rakyat dengan kemahiran untuk memperkasakan ekonomi digital, terutamanya bagi golongan B40, warga emas, komuniti rentan sosioekonomi, pelajar dan usahawan.
Program yang dihadiri hampir 500 mahasiswa dan usahawan tempatan itu, katanya, merupakan program turun padang untuk meningkatkan literasi kemahiran digital rakyat agar seiring dengan visi menuju Dekad Keemasan Digital, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai Harimau Digital Asia.