Sebahagian suspek kes Wang Kelian sudah meninggal dunia, kata polis Thailand

Sebahagian suspek kes Wang Kelian sudah meninggal dunia, kata polis Thailand

Polis Thailand berkata seorang atau dua lagi yang akan menamatkan hukuman penjara bakal diekstradisi ke Malaysia.

Empat warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan menyeludup migran antara 2013 dan 2015. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebahagian suspek yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia kerana disyaki terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 sudah meninggal dunia ketika menjalani hukuman di penjara, kata polis Thailand.

Timbalan Ketua Polis Thailand Surachate Hakparn berkata seorang atau dua lagi yang akan menamatkan hukuman penjara bakal diekstradisi ke Malaysia.

“Namun, sebahagian suspek lagi telah meninggal dunia ketika menjalani hukuman di penjara,” katanya lapor Bernama.

Bagaimanapun, Surachate tidak memberitahu jumlah sebenar suspek yang meninggal dunia dan yang masih dipenjarakan.

Terdahulu empat daripada 10 warga Thailand yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia telah diekstradisi dan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini.

Surachate berkata perkembangan itu adalah hasil kerjasama erat antara kedua-dua negara.

“Kerjasama erat itu juga menunjukkan bahawa Thailand dan Malaysia komited untuk memerangi pemerdagangan manusia dan jenayah transnasional,” katanya.

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara.

Susulan siasatan dijalankan, kerajaan mengemukakan permintaan ekstradisi kepada kerajaan Thailand terhadap 10 individu warga Thailand pada 6 Jan 2017, dan kedua-dua negara berusaha mengesan semua individu berkenaan bagi melaksanakan proses ekstradisi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, pada 2015 diekstradisi ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.