
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata hantaran di Facebook Adun Kubu Gajah Khalil Yahaya itu sengaja untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan perpaduan.
“Ini contoh politik 3R, tujuannya nak tunjuk kerajaan perpaduan letak DAP jadi pengerusi Felda.
“Felda sinonim dengan orang Melayu, supaya amarah orang Melayu itu tertuju kepada kerajaan,” kata menteri dalam negeri itu di Twitter.
Semalam, Felda menafikan pelantikan baharu bagi jawatan pengerusi yang kosong berkuat kuasa 30 Jun, susulan tersebar poster mendakwa Teresa dilantik ke jawatan itu termasuk di Facebook rasmi Khalil.
Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh turut menafikannya.
Khalil mendakwa hantaran itu dibuat pentadbir Facebooknya, bukan secara peribadi olehnya.
Jawatan pengerusi Felda kosong selepas Idris Jusoh menerima keputusan daripada Pejabat Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada lantikan pengganti baharu.