Manipulasi korporat: Semua proses akan diguna untuk bawa pulang individu terlibat

Manipulasi korporat: Semua proses akan diguna untuk bawa pulang individu terlibat

Menteri Saifuddin Nasution kata siasatan sedang berjalan dengan baik dan tiada sebab untuk curiga kompetensi polis.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Menteri Saifuddin Nasution berkata semua proses perundangan akan digunakan mengikut keperluan.
PETALING JAYA:
Polis akan menggunakan semua proses perundangan untuk membawa pulang individu terlibat bagi membantu siasatan ke atas dakwaan kegiatan manipulasi korporat.

“Kalau ada keperluan untuk mereka itu kita ambil kenyataan bagi membantu melengkapkan satu siasatan, semua proses untuk membolehkan kita membawa pulang mereka, kita akan gunakan,” kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan siasatan sedang berjalan dengan baik dan beliau diberi taklimat dari semasa ke semasa oleh polis. “Saya tidak ada sebab untuk mencurigai soal kompetensi di pihak polis,” katanya, pada sidang mdeia selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Berapit di Pengkalan Hulu, Perak.

Pada 18 Mac, Ketua Polis Negara Khalid Ismail dilaporkan berkata ahli perniagaan, Victor Chin, yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat kini berada di luar negara.

Pengumuman itu dua hari selepas serbuan ke atas beberapa premis milik ahli perniagaan itu, yang dijalankan bersama Suruhanjaya Sekuriti bagi membantu siasatan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Pada 10 Apr, polis mengesahkan tiada sebarang bukti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terlibat dalam kegiatan manipulasi korporat, setakat ini.

Khalid berkata polis masih perlu merakam keterangan beberapa individu yang berada di dalam dan luar negara dalam siasatan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.