
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya bersedia menghadapi sebarang kesan akibat cuaca panas termasuk berhubung harga beras.
“Sekarang ini kita sudah minta pegawai dapatkan maklumat daripada KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), mungkin lewat petang ini kita akan peroleh, desas-desus (berlaku) kenaikan (harga) itu tiada lagi, bukan keputusan daripada kerajaan lagi,” katanya.
Tambahnya, pihaknya dan KPKM akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini kemudian, setelah bertukar nota.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia-Brunei di Depo Petronas Dagangan Berhad, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah, hari ini, lapor Bernama.
Misi itu menyaksikan pembekalan 150 tan metrik gas petroleum cecair (LPG) tidak bersubsidi dari Malaysia ke Brunei bermula 16 Jun lepas hingga 1 Julai ini.
Media hari ini melaporkan Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata harga runcit bagi beras putih import 10kg akan naik sekurang-kurangnya RM1, bulan depan.
Perkembangan ini menyusuli kenaikan harga antara RM1 dan RM2 sekampit bagi berat putih import, bulan lepas.
Beliau turut mengaitkan lonjakan harga beras putih tempatan dengan kekurangan bekalan akibat gelombang panas baru-baru ini, yang menjejaskan penuaian musim lepas.
Bagaimanapun, katanya, bekalan dijangka stabil menjelang September.