Keputusan Ronnie tinggalkan parti kehilangan besar bagi DAP, kata penganalisis

Keputusan Ronnie tinggalkan parti kehilangan besar bagi DAP, kata penganalisis

Ronnie Liu adalah antara ahli DAP yang sanggup susah senang bersama parti itu, kata James Chin.

Adun Sungai Pelek Ronnie Liu mengumumkan keputusannya meninggalkan DAP malam tadi.
PETALING JAYA:
Keputusan Ronnie Liu meninggalkan DAP menjadi kerugian besar bagi parti itu kerana bekas ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) itu tidak pernah teragak-agak mempersoalkan kepimpinan, kata penganalisis.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, Liu adalah antara individu yang “cukup berani” mempersoalkan Lim Guan Eng, sebelum ini setiausaha agung DAP.

“Ronnie adalah salah seorang yang sanggup mencabar Guan Eng dan pemimpin utama lain jika tidak bersetuju dengan mereka,” katanya kepada FMT.

Liu juga sanggup susah senang bersama DAP, kata Chin.

“DAP melalui masa yang sangat sukar pada era Mahathir”, ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dari 1981-2003.

Chin berkata, Liu adalah “antara mereka yang bertahan dengan DAP dalam apa jua keadaan”, walaupun pada hakikatnya, beliau boleh ditangkap dan ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

“Beliau antara segelintir pemimpin yang sanggup berkorban nyawa untuk DAP”, sehinggakan ahli keluarganya berkali-kali memintanya berhati-hati apabila DAP ditekan.

Chin berkata, keputusan Liu untuk meninggalkan parti itu bukan penamat kerjaya politiknya. Liu dipilih sebagai Adun Pandamaran pada 2008 dan mewakili Sungai Pelek dari 2018 hingga 2022.

Politik “benar-benar mengalir dalam darah Liu”, dan beliau akan mencari platform lain, kata Chin.

“Beliau hanya berundur daripada DAP dan saya rasa beliau sudah muak dan bosan dengan semua politik dalaman dan berpuak (dalam DAP).”

Liu mengumumkan keputusannya meninggalkan DAP malam tadi.

Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim memberitahu FMT, parti itu menghormati keputusan Liu dan “berterima kasih atas semua sumbangannya kepada parti setakat ini”.

Seorang ahli CEC, Ng Suee Lim berkata, sumbangan Liu kepada parti akan sentiasa dikenang.

“Sebagai rakan seperjuangan, sumbangan anda (Liu) sentiasa dihargai dan jasa anda akan dikenang,” kata Ng, yang juga speaker DUN Selangor.

Liu kadangkala mencetuskan kontroversi apabila enggan mematuhi keputusan parti.

Menjelang PRU15 tahun lepas, Liu berkata, segelintir penyokong DAP kecewa dengan keputusan kepimpinan menggugurkan beberapa wakil rakyat.

Beliau berkata pemilihan calon berbaur nepotisme dan kronisme.

Pada September, beliau mengkritik pindaan kepada perlembagaan parti bahawa wakil rakyat yang tidak mematuhi keputusan parti dalam isu asas secara automatik akan kehilangan keahlian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.