Gagal BI sukarkan syarikat multinasional gaji tenaga mahir, kata MEF

Gagal BI sukarkan syarikat multinasional gaji tenaga mahir, kata MEF

Presiden Syed Hussain Syed Husman berkata bahasa Inggeris adalah kemestian untuk pertumbuhan ekonomi dan keupayaan negara menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata jika negara ingin mengembangkan ekonomi dan menarik pelaburan antarabangsa kerajaan perlu mewajibkan penguasaan bahasa Inggeris. (Gambar MEF)
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata jumlah besar calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) gagal matematik dan bahasa Inggeris akan menyukarkan syarikat multinasional (MNC) menggaji pekerja tempatan yang diperlukan.

Presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata syarikat MNC juga berdepan masalah kerana sukar mendapatkan tenaga kerja mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, yang mana perlu berhubung dengan pelanggan antarabangsa mereka.

Katanya, ekonomi negara sudah beralih kepada bidang perkhidmatan, yang mana mereka berkhidmat dalam bidang amat perlu menguasai bahasa perantaraan paling meluas digunakan di dunia itu.

“Jika kita ingin mengembangkan ekonomi negara dan menarik pelaburan antarabangsa, kita perlu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang wajib dikuasai semua.

“Jika tidak, kita akan mempunyai syarikat antarabangsa yang menggajikan lebih ramai pegawai dagang untuk bekerja di negara kita,” katanya kepada FMT.

“Bahasa Inggeris adalah kemestian untuk pertumbuhan ekonomi dan keupayaan negara menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa.”

NGO Untuk Malaysia baru-baru ini menerbitkan analisis keputusan SPM 2022 dengan menyatakan seramai 89,752 calon gagal subjek matematik, manakala 52,674 lagi tidak lulus bahasa Inggeris.

Syed Hussain berkata, timbul persoalan sama ada silibus subjek berkenaan dirancang dengan baik dan relevan kepada pelajar sebagai persediaan melangkah ke alam seterusnya.

Beliau turut mencadangkan calon gagal dalam subjek teras itu diberi bimbingan dan peluang mengambil peperiksaan ulangan bagi memperbaiki keputusan sedia ada.

“Mereka yang gagal matematik dan bahasa Inggeris juga boleh mengambil kelas tambahan dan menambah baik atau menyertai syarikat yang mempunyai pelatih pengurusan yang baik atau skim peningkatan pekerja,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Hussain berkata mereka yang kurang menonjol dalam bidang akademik masih berpeluang menyerlah dalam sektor pekerjaan dengan meneruskan pembelajaran menerusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Kemahiran yang diperoleh di TVET boleh digunakan untuk membina kerjaya mereka.”

Katanya, MEF sedang bekerjasama erat dengan pihak universiti untuk menambah baik kurikulum dan penyampaian kursus agar selari dengan kehendak semasa pasaran pekerjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.