
Beliau berkata keadaan pos kawalan di kawasan sempadan sebahagiannya berada dalam keadaan daif, malah ada yang lantainya telah reput.
“Saya ada membuat tinjauan di pos kawalan PGA dan mendapati ia usang, malah ada yang tidak boleh digunakan lagi.
“Kita hendak membaik pulih agar keadaan pos kawalan lebih kondusif dan anggota bertugas boleh berada dalam keadaan selesa, kerana mereka ini ditempatkan di lokasi strategik,” katanya pada sidang media majlis serah terima tugas ketua polis negara dan timbalan ketua polis negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
Saifuddin berkata anggaran peruntukan yang diperlukan untuk kos baik pulih itu ialah RM45 juta.
Terdahulu, Saifuddin memakaikan pangkat ketua polis negara kepada Razarudin Husain dan timbalan ketua polis negara kepada Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengenai pelantikan dua jawatan tertinggi dalam pasukan polis itu, Saifuddin berkata ia merupakan satu gabungan yang mantap.
Beliau berkata Razarudin dan Ayob Khan dilihat menunjukkan kepimpinan cemerlang dan dapat meneruskan reputasi PDRM, bagi menjaga ketenteraman dan keamanan negara.
“Saya mempunyai harapan dan keyakinan sangat tinggi, agar PDRM di bawah kepimpinan mereka dapat meneruskan kelangsungan yang ditinggalkan Acryl Sani Abdullah Sani.
“Saya percaya gandingan ini sangat mantap…dengan pengalaman Razarudin dan kualiti kepimpinan ditunjukkan Ayob Khan selama ini, akan membolehkan PDRM meneruskan reputasi sebagai penguat kuasa terbesar dalam negara,” katanya.
Saifuddin dalam satu kenyataan semalam mengumumkan Razarudin yang sebelum ini timbalan ketua polis negara dilantik sebagai ketua polis negara yang baharu, menggantikan Acryl Sani manakala Ayob Khan dilantik sebagai timbalan ketua polis negara.