
Dengan hanya dua pemohon diluluskan setakat ini, terdiri daripada seorang peserta utama dan seorang tanggungan, Saifuddin berkata program itu yang diperkenalkan kerajaan terdahulu tidak menepati sasaran ditetapkan.
“Program Visa Premium ini tidak mencapai sasaran dihasratkan. Dilihat dari segi angka (pemohon) diluluskan, tidak mencapai sasaran, Tidak memuaskan. Ia patut dikaji semula,” katanya dalam wawancara di pejabatnya semalam.
Saifuddin berkata, beliau tidak bercadang membatalkan program itu ketika ini dan mahu melihat sama ada penambahbaikan boleh dilakukan. Membatalkannya akan menjadi pilihan terakhir.
September lalu, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Hamzah Zainudin dipetik Bernama sebagai berkata, Kementerian Dalam Negeri menerima 20,000 permohonan daripada ejen untuk program Visa Premium dan mendakwa ia mencapai “kejayaan besar”.
Kerajaan dilapor menjangkakan kutipan kira-kira RM206 juta selepas meluluskan permohonan daripada 16 agensi dan syarikat untuk menyertai program itu dengan kuota diluluskan seramai 10,300 orang.
Program itu bertujuan menarik individu kaya dari seluruh dunia, kecuali yang tiada hubungan diplomatik dengan Malaysia, dengan pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan.
Pemohon juga dikenakan yuran sekali bayar RM200,000 dan RM100,000 bagi setiap tanggungan, serta wajib mempunyai sekurang-kurangnya RM1 juta dalam akaun bank mereka. Mereka hanya boleh mengeluarkan 50% daripada jumlah itu selepas setahun membeli hartanah atau membayar perbelanjaan perubatan dan pendidikan.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 24 Mei lalu, Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen hanya menerima 28 permohonan untuk program Visa Premium, terdiri daripada 14 peserta dan 14 tanggungan, dengan hanya dua diluluskan.
Sementara itu, Saifuddin sekali lagi mempertahankan syarat diperketatkan untuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dengan berkata, ia membawa kepada pemohon lebih berkualiti tahun lalu.
Beliau berkata, permohonan rendah selepas syarat diperketatkan susulan sekatan Covid-19 di peringkat global dan nasional. Tetapi, lebih 800 pemohon mendapat pra-kelulusan sejak itu dan mereka mungkin diberikan lampu hijau terakhir.
“Sebaik kita memberi kelulusan, mereka akan ke bank buka akaun simpanan tetap dan memasukkan RM1 juta dalam akaun mereka. Jadi, kita akan dapat RM800 juta begitu saja.”
Katanya, KDN mendapati ramai pemohon MM2H dari negara seperti Bangladesh sebelum syarat baharu itu dilaksanakan, tetapi kini 10 negara teratas dengan pemohon MM2H ialah negara seperti United Kingdom, Jepun dan Singapura.