Pegawai polis didakwa hina anggota, bertengkar di parkir digantung tugas

Pegawai polis didakwa hina anggota, bertengkar di parkir digantung tugas

Kertas siasatan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara manakala jabatan integriti membuka enam siasatan berasingan.

Seorang pegawai polis kelihatan bertengkar di tempat letak kenderaan dalam satu daripada dua video yang tular baru-baru ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pegawai polis yang didakwa menghina anggota dan bertengkar di tempat letak kenderaan dalam dua video tular berasingan telah digantung tugas.

Dalam satu video, wanita terbabit kelihatan memarahi anggota bawahan dan didakwa menghinanya, manakala dalam video lain dia kelihatan bertengkar dengan seseorang di kawasan letak kenderaan di Brickfields, Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dua kertas siasatan terhadap wanita itu dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis juga buka enam siasatan berasingan terhadap perkara itu.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata lebih 40,000 anggota polis akan digerakkan sebagai persediaan menghadapi PRN di enam negeri nanti.

“Sama ada mereka datang dari negeri sendiri atau dari negeri lain yang tidak terlibat dalam PRN, kita akan tentukan kemudian,” katanya.

Saifuddin bercakap kepada pemberita selepas majlis serah tugas ketua polis negara (KPN) dan timbalan di pusat latihan polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

Majlis itu menyaksikan bekas KPN Acryl Sani Abdullah Sani menyerahkan tugas kepada timbalannya Razarudin Husain, yang seterusnya menyerahkan jawatannya kepada ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.