
Beliau berkata, rakyat berhak mendapat perkhidmatan baik, justeru kerajaan perlu mendengar dan mengambil kira segala pandangan positif atau negatif.
“Semua orang lantang baguslah, saya harap semua rakyat kena lantang, hak rakyat mendapat kerajaan lebih baik.
“Kita kena sama-sama bagi kritikan yang konstruktif, jadi sebagai kerajaan kena dengar dan ambil kira apa juga pandangan positif atau negatif,” katanya dalam sidang media program Mara ke bas Hino Poncho Zev dan program Mara Brew’ 23 di ibu pejabat Mara.
Asyraf berkata demikian ketika ditanya tindakan dua pemimpin Umno iaitu Shahrir Samad dan Isham Jalil yang dilihat lantang bersuara mengkritik kerajaan perpaduan.
Terdahulu, Shahrir mengkritik kerajaan yang didakwa tidak cekap dalam pengendalian urus tadbir negara.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil, menyifatkan kejatuhan pasaran modal dan ringgit ketika ini sebagai krisis yang perlu dibincangkan segera oleh kerajaan.
Rundingan kerusi
Sementara itu, ketika ditanya mengenai PRN Asyraf berkata mana-mana parti masih boleh mencuba nasib membuat tuntutan kerusi.
Katanya, tidak kira Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN), parti tersebut boleh membuat rundingan kerusi namun ia perlu diputuskan pimpinan tertinggi.
“Semua orang boleh minta tapi akhirnya kita bersepakat dalam mesyuarat serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tinggi parti. Kita juga bersetuju dan akur dengan apa sahaja keputusan sebab 99.7% sudah selesai (agihan kerusi).
“Jadi tiada isu sebenarnya, biasalah mungkin yang akan minta dan sebagainya itu mahu cuba-cuba nasib di saat akhir daripada presiden masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Pemuda Amanah Hulu Selangor menggesa pemimpin parti politik dalam gabungan kerajaan bersikap adil dalam pembahagian kerusi PRN.
Ketuanya, Abdul Mun’im Roslin tidak bersetuju dengan hasrat Umno bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam dan Batang Kali.
Kerusi Hulu Bernam kini disandang Rosni Sohar daripada BN manakala Batang Kali pernah disandang gabungan itu sebelum kalah kepada Bersatu pada PRU14.