
Katanya, pendedahan itu akan dilakukan menerusi “Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera”.
Amar berkata, hal ini kerana terdapat beberapa aspek atau isu tidak sampai kepada rakyat terutama perkara yang memerlukan penjelasan terperinci.
Beliau berkata, kerajaan negeri berharap melalui penganjuran karnival berkenaan maklumat tepat mengenai semua perkara tersebut dapat disampaikan dengan sejelas-jelasnya kepada rakyat di negeri ini.
“Paling penting adalah pendedahan maklumat mengenai perkara-perkara yang memerlukan penjelasan terperinci. Sebelum ini ia tidak diperincikan dalam sebarang pernyataan atau di pentas politik. Isu berkaitan tanah juga perlu diperjelaskan kepada rakyat.
“Dalam isu tanah, banyak pihak mendakwa ia diberikan kepada syarikat-syarikat sahaja sedangkan mengikut rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sehingga kini terdapat lebih 120,000 permohonan di seluruh negeri telah diluluskan kepada individu,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian karnival tersebut, di Kota Darulnaim, Kota Bharu.
Amar berkata, contoh itu antara isu akan diketengahkan supaya rakyat Kelantan mengetahui perkara dilaksanakan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan, berkata tiada “poster boy” akan ditonjolkan pada PRN di negeri itu.
“Di Kelantan kita tidak ada ‘poster boy’…semua calon kita adalah poster boy,” katanya.