2 pengeluar gula diarah hantar laporan harian kepada KPDN

2 pengeluar gula diarah hantar laporan harian kepada KPDN

MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd diarah menghantar laporan harian sejak Mei lalu.

Salahuddin Ayub berkata bekalan gula kini stabil susulan pemeriksaan berkala di peringkat pemborong dan runcit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua syarikat pengeluar gula diarah menghantar laporan harian pengeluaran gula kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan bekalan di pasaran tidak terjejas, kata Menterinya Salahuddin Ayub.

Katanya, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) memberi jaminan bekalan gula mencukupi.

“…kita telah mengarahkan mereka menghantar laporan setiap hari sejak Mei lalu,” katanya menurut Sinar Harian ketika pelancaran Pakej Rahmah Insurans dan Takaful di KPDN di Putrajaya.

Selepas gangguan bekalan gula dan Ops Manis dilancarkan Mei lalu, beliau berkata, bekalan gula kini stabil susulan pemeriksaan berkala di peringkat pemborong dan runcit.

“Minggu lepas kami turun padang mendapati ada beberapa tempat masih mengalami kekurangan bekalan dan ia diatasi dalam tempoh sehari dua kemudian. Dua tiga hari ini kita sudah tidak menerima aduan mengenai gula.”

Katanya, KPDN turut mempergiatkan penguatkuasaan di sempadan negara bagi mengelakkan ketirisan subsidi, khasnya menjelang sambutan Aidiladha.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berharap penunggang motosikal dan peserta ekonomi gig merebut peluang mendapatkan Pakej Rahmah Insurans dan Takaful.

“Ia murah dan saya rasa dengan tawaran ini, pencarum akan mendapat perlindungan sewajarnya.”

Katanya, KPDN sedia mengadakan libat urus dengan pihak bank bagi membincangkan inisiatif perbankan Rahmah dalam masa terdekat dan beliau sudah menemui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz bagi tujuan itu.

“Kita akan bincang jika boleh ditawarkan mana-mana segmen perbankan seperti perumahan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.