2 lelaki swafoto lepas tumbuk pekerja kedai direman 6 hari

2 lelaki swafoto lepas tumbuk pekerja kedai direman 6 hari

Reman terhadap suspek masing-masing berusia 31 dan 32 tahun hingga 27 Jun bagi siasatan kes mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Tangkap layar video tular menunjukkan dua lelaki memukul seorang pekerja kedai serbaneka dalam kejadian di Bandar Rinching, Semenyih, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Dua lelaki yang ditahan selepas dipercayai menumbuk muka pekerja kedai serbaneka di Semenyih dalam kejadian Selasa lalu, direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi terhadap suspek masing-masing berusia 31 dan 32 tahun itu di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, pagi tadi, menurut Berita Harian.

Reman terhadap mereka sehingga 27 Jun itu bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bapa mangsa, Shahrul Aminshah Aziz, 40, berkata beliau bersyukur apabila polis berjaya mengesan dua suspek dipercayai terbabit dalam kes tumbuk membabitkan anak lelakinya berusia 18 tahun.

“Saya harap kes ini dapat diselesaikan segera dan pesalah itu mendapat hukuman setimpal dengan sakit serta trauma dialami anak saya,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan pekerja sebuah kedai serbaneka di Bandar Rinching, Semenyih cedera di muka selepas ditumbuk lelaki mabuk kerana menegurnya mengambil payung dalam premis berkenaan, kira-kira 5 pagi.

Suspek juga mengambil swafoto bersama mangsa sebelum beredar meninggalkan premis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.