Wakil rakyat Bersatu nafi Muhyiddin, Hamzah tak sebulu mengenai masa depan parti

Wakil rakyat Bersatu nafi Muhyiddin, Hamzah tak sebulu mengenai masa depan parti

Ahli Parlimen Ketereh turut menafikan Azmin Ali merupakan punca perselisihan antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor berkata dakwaan itu sengaja dibuat oleh seteru. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Bersatu menafikan dakwaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin berselisih mengenai hala tuju parti.

Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, yang namanya disebut-sebut pengganti Hamzah sebagai ketua pembangkang, berkata dakwaan itu sengaja dibuat oleh seteru.

“Itu semua khabar angin nak hancurkan PN,” katanya kepada FMT.

“Parti lawanlah yang buat khabar angin ini. Mereka ada penulis-penulis blog mereka juga. Saya tahu ada sangkut paut dengan saya, kononnya (nak lantik) saya ketua pembangkang.”

Semalam, sumber Bersatu memberitahu FMT bahawa Muhyiddin dan Hamzah tidak sependapat mengenai hala tuju parti, dan berselisih tentang bagaimana Bersatu dan PN sepatutnya beroperasi, naratif apabila menentang parti pemerintah, dan kerusi mana yang akan ditandingi pada PRN akan datang.

Sumber juga mendakwa perselisihan antara Muhyiddin dan Hamzah berpunca daripada peranan Pengerusi PN Selangor Azmin Ali dalam parti.

Azmin, yang sedang dipersiapkan untuk menjadi “poster boy” untuk Bersatu, dikatakan terlibat dalam beberapa perbincangan peringkat tinggi yang tidak melibatkan Hamzah.

Khlir menafikan Muhyiddin dan Hamzah berselisih mengenai peranan Azmin.

“Tak, tak, itu salah. Azmin bagus. Azmin jaga parti bagus,” katanya, dan menambah Bersatu tidak pernah bincang tentang menukar ketua pembangkang.

Dakwaan itu menyusul laporan media baru-baru ini bahawa Bersatu sedang mempertimbangkan Khlir atau Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim sebagai pengganti Hamzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.