PKR sedia sokong Mat Said jadi ‘poster boy’ tawan Terengganu

PKR sedia sokong Mat Said jadi ‘poster boy’ tawan Terengganu

Seorang ahli majlis pimpinan PKR Terengganu memaklumkan partinya sedia sokong Ahmad Said sebagai wajah jentera PH-BN sekiranya sudi dipaparkan bersama Anwar Ibrahim.

BN Terengganu berkata mereka akan mempertaruhkan Ahmad Said sebagai wajah gabungan itu pada PRN akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR Terengganu sedia menyokong ketua Umno Terengganu, Ahmad Said, sebagai “poster boy” kerajaan perpaduan bagi menawan negeri itu pada PRN akan datang, asalkan ahli politik veteran itu sudi dipaparkan bersama Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan PKR Terengganu Azan Ismail memberitahu FMT partinya sedia menyokong Ahmad sebagai wajah jentera PH-BN sekiranya beliau digandingkan dengan presidennya, selaku wajah kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

“Dia kena bersama Anwar – seorang dari negeri dan seorang dari pusat sebagai ‘poster boy’,” tegasnya kepada FMT.

“Kita tak boleh tinggal Anwar. Dia perlu jadi ‘poster boy’ utama dalam mana-mana PRN. Kita setuju kalau nak gabungkan Anwar dengan ‘poster boy’ negeri.”

Barisan Nasional Terengganu sebelum ini berkata mereka akan mempertaruhkan Ahmad sebagai wajah gabungan itu pada PRN akan datang, dan akan mencalonkan beliau sebagai menteri besar jika berjaya menawan Terengganu.

Dalam pada itu, Azan memaklumkan enam kerusi diperuntukkan untuk Pakatan Harapan manakala 26 lain untuk BN.

“Kalau ikut pengumuman tak rasmi PH diberi enam DUN dan Umno 26 tapi masih dalam rundingan lagi. Saya harap ada tambahan kerusi,” katanya, sambil mengingatkan peluang BN menawan Terengganu lebih baik dengan kerjasama PH.

Dalam kedudukan sekarang, 22 DUN diduduki PAS manakala 10 dalam tangan Umno.

Ditanya tentang teguran Ahmad kepada PKR supaya ‘ukur baju di badan sendiri’ kerana meminta tambahan kerusi pada PRN kelak, Azan percaya Adun Kijal itu tertekan dengan tanggungjawab merampas Terengganu daripada PAS.

“Sebelum ini beliau berulang kali kata kalau tak dapat ambil alih Terengganu pada PRN kali ini, bermakna Terengganu akan jadi Kelantan nombor dua,” katanya, dan menambah akar umbi PH tiada masalah bekerjasama dengan BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.