DAP Sarawak nafi cuma ‘komen negatif’ terhadap kerajaan negeri

DAP Sarawak nafi cuma ‘komen negatif’ terhadap kerajaan negeri

Parti itu memainkan peranan semak dan imbang untuk memastikan dasar dilaksanakan dengan betul, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.

Menuntut ketelusan ialah tanggungjawab DAP Sarawak sebagai pembangkang, kata Kelvin Yii kepada Abdul Karim Rahman Hamzah.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menyangkal dakwaan menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak bahawa DAP tidak ada perkara baik hendak dikatakan mengenai kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Yii berkata, tidak benar DAP Sarawak tidak pernah menyokong apa yang terbaik untuk negeri itu.

Katanya, Ahli Parlimen DAP membahaskan secara terbuka dan menyokong rang undang-undang dan perundangan dibentangkan oleh kerajaan semasa yang memberikan manfaat kepada negeri ini.

“DAP Sarawak kisah dan mahukan yang terbaik untuk negeri ini, (sebab itulah) kami mainkan peranan sebagai semak dan imbang bagi memastikan dasar dilaksanakan dengan betul untuk elak sebarang pembaziran atau penyalahgunaan, tidak kira betapa mulianya niat kerajaan semasa,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berkata, hasrat mahukan yang terbaik untuk negeri bukan sekadar dizahirkan dengan memuji kerajaan tetapi, yang lebih penting, menuntut ketelusan dan akauntabiliti bagi setiap projek, serta hala tuju sebarang keputusan dasar.

“Itulah peranan kita sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Abdul Karim Rahman Hamzah, yang membidas DAP Sarawak kerana hanya mengeluarkan komen negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan GPS.

Karim berkata, sekalipun kerajaan negeri cemerlang menguruskan kewangan, sumber atau prasarana, DAP Sarawak akan memilih untuk sama ada berdiam diri atau mencari sesuatu untuk dikritik.

Semalam, Pemuda DAP Sarawak berkata, RM30 juta dibelanjakan untuk tiang bendera di Petra Jaya sepatutnya boleh digunakan dengan lebih baik untuk projek praktikal serta program pembasmian kemiskinan.

Ketuanya Peter Hee, malah menuduh 76 Adun GPS gagal menangani kesan teruk ekonomi dihadapi rakyat, dan meringankan beban mereka.

Beliau mendakwa Adun GPS sedar tiang bendera itu sebenarnya bukan satu keperluan malah salah urus dana, tetapi memilih berdiam diri.

Kenyataan Hee itu selepas Borneo Post melaporkan tiang bendera itu disiapkan lebih awal daripada dijadualkan.

Tiang bendera itu dikatakan setinggi 99m itu, iaitu 4m lebih tinggi daripada tiang bendera di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Terletak antara kompleks DUN dan Fort Margherita, tiang bendera itu merupakan projek tanggungjawab sosial korporat bagi memperingati ulang tahun ke-60 penyertaan Sarawak dalam Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.