Agong, Permaisuri berangkat tunai haji

Agong, Permaisuri berangkat tunai haji

Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci dari 21 Jun hingga 2 Julai.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersalaman bersama kakitangan Istana Negara sebelum berangkat menunaikan haji. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.

Turut mengiringi, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah.

Majlis keberangkatan Seri Paduka berdua yang diadakan di Istana Negara dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu, Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah memimpin bacaan doa, disusuli laungan azan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Istana Negara Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni.

Sebelum berangkat, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersalaman bersama kakitangan Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong juga sempat berpesan kepada perdana menteri untuk menjaga negara.

Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci dari 21 Jun hingga 2 Julai.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.