
Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hasan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dua lelaki warga tempatan datang ke kedai serbaneka 24 jam, lokasi mangsa bekerja untuk membeli minuman.
Katanya, seorang suspek kemudiannya mengambil tiga batang payung dan keluar dari premis tanpa membuat sebarang bayaran.
“Menyedari perbuatan suspek terbabit, mangsa bertindak menegur sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
“Akibat berang ditegur, suspek meluru masuk semula ke dalam premis dan menumbuk mangsa di bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan.
Zaid berkata mangsa yang berusia 18 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu jam 7.43 pagi.
Video yang memaparkan kejadian itu turut tular di media sosial.
Menurut Zaid usaha mengesan kedua-dua suspek terbabit giat dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda, atau sebat.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai di bawah IPD Kajang atau talian 0389114222.
“Orang ramai juga boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Nur Fatihah Awang di talian 01125703695 bagi membantu siasatan,” katanya.