
Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Farhana Khalid, mencabar keterangan saksi Roeshan Celestine Gomez mengenai perkara itu semasa pemeriksaan balas hari ini.
Pada perbicaraan sebelum ini, Gomez memberikan keterangan bahawa pegawai polis Ali Asra, yang merakam kenyataannya pada 13 Feb 2017, berkata “modus operandi” yang digunakan dalam penculikan itu mencadangkan bahawa ia “operasi polis”.
Saksi berkata, penculikan Koh berlaku dalam masa kurang seminit.
“Saya dimaklumkan bahawa Ali tidak pernah membuat kenyataan sedemikian. Adakah anda bersetuju?” soal Farhana kepada Gomez.
Gomez tidak bersetuju, menegaskan bahawa Ali sememangnya ada mengeluarkan kenyataan sebegitu.
Farhana kemudian memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo bahawa kerajaan bercadang memanggil Ali sebagai saksi dalam prosiding itu.
Pada 12 Feb 2020, isteri Koh, Susannah Liew, memfailkan saman terhadap polis, ketua polis negara dan beberapa bekas pegawai tinggi polis berhubung kehilangan Koh.
Pegawai tinggi polis itu termasuk bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun; serta bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas Bukit Aman Awaludin Jadid.
Individu lain dinamakan dalam saman itu terdiri daripada bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed; bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat; dan pegawai polis Supari Mohamad, Khor Yi Shuen, Hazril Kamis, Shamzaini Daud dan Saiful Bahari Abdul Aziz.
Liew menuntut ganti rugi atas kehilangan Koh, serta pihak berkuasa bertanggungjawab atas penculikannya yang menyalahi undang-undang, dan atas misfeasans dalam jawatan awam.
Ketika pemeriksaan semula oleh pasukan guaman Liew, Gomez berkata, Ali membuat beberapa panggilan telefon selepas membuat kenyataan itu.
“Saya rasa lega,” katanya kepada peguam, Jerald Gomez.
“Saya dimaklumkan bahawa ia membabitkan orang awam apabila saya menerima mesej WhatsApp mengenai penculikan itu, dan saya jadi lebih cemas,” katanya.
Su bertanya kepada Gomez sama ada beliau mengenali Koh dan Liew sebelum membuat laporan polis pada 13 Feb 2017.
Gomez berkata, beliau tidak mengenali pasangan itu.
Perbicaraan bersambung 6 Julai.