Politik punca Coldplay buat hanya 1 persembahan di KL, kata persatuan

Politik punca Coldplay buat hanya 1 persembahan di KL, kata persatuan

Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa berkata protes dari kumpulan politik memberi kesan kepada artis dan pemain industri.

Coldplay dijadual mengadakan enam persembahan di Singapura berbanding satu di Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kumpulan yang mewakili pemain industri acara berkata protes daripada kumpulan politik antara sebab utama mengapa kumpulan rock Britain Coldplay mengadakan hanya satu persembahan di Malaysia berbanding enam di negara jiran Singapura.

Persatuan Pengiat Festival Antarabangsa atau Alife Malaysia berkata, protes politik meninggalkan kesan terhadap artis dan pemain industri.

Alife Malaysia dalam satu kenyataan berkata, sekiranya Coldplay membuat enam persembahan di Malaysia, ia bakal memberi manfaat kepada perniagaan tempatan berjumlah berjuta-juta ringgit.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nasrudin Hassan menggesa kerajaan membatalkan konsert Coldplay di Malaysia pada November ini dengan alasan ia menggalakkan budaya “hedonisme dan songsang”.

Alife berkata protes terhadap konsert juga menjejaskan reputasi Malaysia.

“Tahniah untuk konsert Coldplay selama enam hari di Singapura hingga semua tiket habis dijual. Ini adalah contoh sebenar beberapa agensi kerajaan dan swasta bekerjasama untuk manfaat ekonomi, mengwujudkan pekerjaan dan pelancongan,” katanya.

“Kami berharap Malaysia mampu mencontohi amalan baik ini satu hari nanti.”

Alife juga berkata, kerajaan tidak sepatutnya “membenarkan kumpulan tertentu menentukan apa kemahuan majoriti rakyat Malaysia”.

Coldplay bukanlah artis antarabangsa pertama yang menerima reaksi negatif selepas mengumumkan konsert mereka di Kuala Lumpur.

Kumpulan pop Korea Selatan Blackpink juga menerima reaksi yang sama ketika menggadakan konsert mereka pada Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.