Bekas pelajar kolej bunuh bayi dalam mangkuk tandas bebas

Bekas pelajar kolej bunuh bayi dalam mangkuk tandas bebas

Nur Izzati Adi yang dipenjarakan sejak 2017 dilepaskan selepas mengaku salah atas pertuduhan lebih ringan.

Mahkamah Rayuan mengarahkan gari Nur Izzati dibuka supaya dia boleh bebas keluar dari penjara.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kepada seorang bekas pelajar kolej selepas mengaku bersalah atas tuduhan lebih ringan, menyebabkan kematian anaknya yang baru lahir dengan melemaskan bayi lelaki itu dalam mangkuk tandas di asrama enam tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hadhariah Ismail memerintahkan hukuman penjara Nur Izzati Adi bermula pada 30 Mac 2017.

Ini bermakna Nur Izzati, 26, tidak lagi dipenjarakan, dengan mengambil kira pengurangan satu pertiga hukuman penjara diberikan kerana berkelakuan baik.

“Pemohon dilepaskan serta-merta dan saya beri arahan kepada pihak penjara membuka garinya serta-merta supaya perayu boleh berjalan keluar dari mahkamah dengan lapang dada,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Zaini Mazlan.

Di luar mahkamah, Nur Izzati dilihat menangis ketika berpelukan dengan ahli keluarganya.

Pada awal prosiding, peguam Nur Izzati, Amirul Ridzuan Hanif, memberitahu mahkamah, Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang memohon pertuduhan lebih ringan daripada membunuh kepada menyebabkan kematian bayi baru dilahirkan.

Timbalan Pendakwa Raya Mukhzany Fariz Mokhtar mengesahkan perkara itu.

Nur Izzati menerima pertuduhan lebih ringan itu dan mengaku bersalah.

Pada 14 Jun 2020, Mahkamah Tinggi di Alor Setar menjatuhkan hukuman mati terhadap Nur Izzati selepas didapati bersalah membunuh bayi baru lahir dengan cara melemaskannya dalam mangkuk tandas di asrama Kolej Pertanian Malaysia di Bukit Kayu Hitam, kira-kira 5.20 petang pada 30 Mac 2017.

Kesalahan menyebabkan kematian bayi baru dilahirkan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Amirul kemudian memohon untuk hukuman ringan terhadap Nur Izzati dan mencadangkan penjara sembilan tahun, yang tidak dibantah oleh Mukhzany.

Polis awalnya menyiasat kes itu atas dakwaan menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi secara rahsia. Namun, kes itu kemudian disiasat sebagai bunuh selepas laporan bedah siasat awal menunjukkan bayi tersebut hidup ketika dilahirkan.

Polis juga menahan seorang pembantu chalet dari Pendang semasa siasatan. Bagaimanapun, tidak jelas sama ada lelaki tersebut didakwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.