Tak mungkin hidup bermakna dengan RM1,930 sebulan, orang bujang ulas panduan KWSP

Tak mungkin hidup bermakna dengan RM1,930 sebulan, orang bujang ulas panduan KWSP

Terdapat perkara lain yang perlu diambil kira seperti kadar sewa bilik yang mengikut lokasi dan kos dari rumah ke stesen LRT/MRT serta dari stesen ke tempat kerja.

Menerusi Belanjawanku, KWSP menganggarkan belanjawan bulanan di Lembah Klang bagi golongan bujang yang menggunakan pengangkutan awam ialah RM1,930.
PETALING JAYA:
Rata-rata orang bujang bekerja yang ditemui FMT tidak bersetuju RM1,930 tahap minimum perbelanjaan untuk memperoleh “kehidupan lestari dan bermakna” di Lembah Klang, seperti dinyatakan panduan KWSP.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja baru-baru ini menerbitkan Belanjawanku sebagai panduan bagi membantu urusan belanjawan kendiri. Menurut dokumen itu, anggaran belanjawan bulanan di Lembah Klang bagi golongan bujang yang menggunakan pengangkutan awam ialah RM1,930, merangkumi RM370 untuk sewa bilik, RM140 untuk pengangkutan, RM610 untuk makanan, dan RM250 untuk simpanan peribadi, antara lain.

Seorang pekerja syarikat swasta, Mohamad Fatah Suhaimi berkata, kadar sewa bilik lazimnya tidak sama kerana bergantung pada lokasi, manakala belanja pengangkutan pula tidak tetap kerana kos dari rumah ke stesen pengangkutan awam serta dari stesen ke tempat kerja, dan sebaliknya.

Beliau yang bekerja di Taman Tun Dr Ismail tetapi menetap di Cheras mendedahkan perbelanjaan minimumnya RM2,300 sebulan.

“Bilik sewa sekitar RM400 sebulan. Kalau nak cari bilik dekat tempat kerja paling murah RM600 hingga RM700 sebulan,” katanya.

“Walaupun saya naik pengangkutan awam, kosnya kadang-kadang sama atau lebih daripada bayar kereta bulan-bulan sebab tak semua bilik sewa atau tempat kerja bersebelahan stesen LRT atau MRT; jadi saya terpaksa naik kenderaan e-panggilan atau teksi dari rumah ke stesen dan stesen ke tempat kerja – kosnya sekitar RM32 sehari.

“Kalau nak menyimpan untuk kahwin lagi lah tak boleh (peroleh kehidupan bermakna). Walaupun makan catu, kalau nak jimat dalam bab pengangkutan, akan mahal dalam bab bilik sewa pula. Itu hakikat di Lembah Klang.”

Seorang lagi pekerja syarikat swasta, Nur Asyiha Ariffin berkata, kadar sewa paling murah bagi bilik yang “selesa dan selamat” sekitar RM400 hingga RM600 sebulan.

“Makan di luar paling kurang RM20 sehari. Ada tempat RM20 itu sekali makan sahaja,” katanya.

“Kalau orang kata naik pengangkutan awam boleh jimat, ia hanya boleh elak kesesakan sahaja. Kita tak bayar kos minyak tapi kita naik LRT, MRT, dan e-panggilan atau teksi.

“Untuk tinggal di Lembah Klang, RM1,930 kategori ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Nak menyimpan tak boleh.”

Seorang pekerja syarikat swasta di Cyberjaya, Ammar Farham Mohd Shukar Nor menyifatkan orang bujang yang berpeluang menggunakan LRT dan MRT “bernasib baik” kerana terdapat pas bulanan RM50.

“LRT/MRT tak menghubungkan semua lokasi. Kos menggunakan e-panggilan sekarang mahal terutama pada waktu puncak,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja media, Nevelin Majil berkata, RM1,930 mencukupi sekiranya tuan rumah tidak menaikkan kadar sewa bulanan, dan tempat tinggal dan tempat kerja berdekatan stesen pengangkutan awam.

“Saya bersyukur rumah sewa yang saya duduk sangat murah. Walaupun Kadar Dasar Semalaman naik, tuan rumah masih tak naikkan rumah sewa. Jadi, perbelanjaan saya masih dalam lingkungan sama.”

Anggaran lain dalam panduan KWSP itu termasuk kesihatan (RM30), utiliti (RM90), penjagaan diri (RM70), perbelanjaan khusus (RM90), penglibatan sosial (RM150), dan perbelanjaan pilihan (RM130).

Perbelanjaan khusus terdiri daripada, antaranya, pakaian dan kasut, dan ansuran bulanan perkakas; penglibatan sosial termasuk sambutan perayaan, hari lahir, dan undangan ke majlis perkahwinan; manakala perbelanjaan pilihan termasuk sumbangan kepada ibu bapa, insurans perubatan, sukan, dan rekreasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.