Suami isteri maut, anak parah kemalangan di LPT2

Suami isteri maut, anak parah kemalangan di LPT2

Pasangan berkenaan maut selepas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler.

Polis berkata kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dalam kemalangan di Kilometer 392.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Bukit Besi-Ajil malam tadi. (Gambar Facebook JBPM)
KUALA BERANG:
Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 392.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Bukit Besi-Ajil, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, mangsa, Mohd Ghani, 68, dan Minah Abdullah, 69, yang berasal dari Kampung Tok Rimau di Kuala Terengganu maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan manakala anak lelaki mereka yang memandu kenderaan mengalami kecederaan patah kedua-dua belah kaki.

Ketua Polis Hulu Terengganu Hasmeera Hassan berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa dengan anak lelakinya datang dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu manakala treler pula dari arah Kuantan ke Kota Bharu.

Beliau berkata ketika di lokasi kejadian, kenderaan terbabit merempuh treler yang berada di lorong kiri dari arah belakang.

“Rempuhan tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda manakala treler yang membawa muatan hampas kelapa sawit hanya pecah tayar kanan dan bengkok besi belakang.

“Pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda patah kaki kiri dan kanan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hasmeera berkata mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pihak bomba dari Balai Bomba Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.