Projek sama, tukar nama sahaja, Tuan Ibrahim ulas projek air Kelantan

Projek sama, tukar nama sahaja, Tuan Ibrahim ulas projek air Kelantan

Timbalan presiden PAS berkata bagaimanapun menyambut baik langkah perdana menteri menyelesaikan masalah air di negeri itu.

Bekas menteri alam sekitar dan air, Tuan Ibrahim Tuan Man, mendakwa pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Tok Bali ditukar nama kepada LRA Semerak.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim termasuk pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Tok Bali bukan projek baharu, tetapi hanya projek sedia ada dengan menukar nama sahaja.

“Projek LRA Tok Bali bukanlah satu projek baharu, ia sekadar perubahan nama daripada LRA Semerak yang dinamakan Kasa (Kementerian Alam Sekitar dan Air) sebelum ini.

“Penamaan LRA Semerak ketika itu dibuat kerana ia dibina di tepi Sungai Semerak dan di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Semerak,” katanya di Facebook.

Bekas menteri alam sekitar dan air itu, berkata tiada perkara baharu dinyatakan Anwar semalam bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan.

“Ia hanya meneruskan apa yang sudah dilaksanakan pihak Kasa ketika saya menerajuinya sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menyambut baik pengumuman Anwar yang mahu menyelesaikan masalah air di Kelantan.

“Alhamdulilah, demi kesejahteraan dan kebaikan, ia sememangnya wajar diteruskan. Insya-Allah saya yakin projek LRA akan siap sebagaimana jadual dan akan memberikan kebaikan untuk rakyat,” katanya.

Semalam, Anwar menggesa agar projek loji air Tok Bali dan penggantian paip air di Bachok disegerakan bagi membantu menyelesaikan masalah air di Kelantan.

Katanya, peruntukan RM500 juta akan digunakan untuk projek itu, yang menjadi sebahagian RM1.7 bilion diluluskan kerajaan untuk Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.