
Surat berkenaan yang menggunakan kepala surat PKR berlegar di media sosial sejak awal hari ini, sekali gus menghangatkan lagi cakap-cakap berhubung masa depan bekas ketua Pemuda Umno itu selepas dipecat partinya.

Pemimpin kanan parti memberitahu FMT, penggunaan bentuk tulisan tidak tepat, sambil menyatakan, “Kami tidak guna font itu.”
FMT sedang mendapatkan ulasan lanjut daripada Saifuddin.
Masa depan politik Khairy tidak menentu selepas dipecat Umno pada Januari kerana didakwa melanggar disiplin parti ketika PRU15.
Bagaimanapun, spekulasi terus bertiup susulan tindakannya memuatnaik hantaran di media sosial bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Muhyiddin secara terbuka menawarkan Khairy jawatan dalam majlis pimpinan tertinggi Bersatu, pada Mei, sambil menambah bekas menteri kesihatan itu mampu menyumbang kepada parti.
Khairy kemudian memberi maklum balas memerlukan masa menimbangkan tawaran Muhyiddin kerana enggan terburu-buru membuat kemunculan politik.
Minggu lalu, Khairy dilihat bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Umno Johari Ghani, dalam perbincangan bersama ahli ekonomi lain termasuk pegawai tinggi kerajaan berhubung hala tuju ekonomi negara.
Dilaporkan, bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut mempertimbang menubuhkan parti politik sendiri.