Perhilitan tembak kera di Batu Caves, penduduk buat laporan polis

Perhilitan tembak kera di Batu Caves, penduduk buat laporan polis

Penduduk pangsapuri SunwayMas dakwa ada monyet di dalam sangkar ditembak dari jarak dekat.

Peguam Rajesh Nagarajan (dua dari kiri), pengadu Avatar Singh Kundu Singh (tiga dari kiri) dan beberapa penduduk pangsapuri SunwayMas selepas membuat laporan polis di IPD Gombak.
GOMBAK:
Seorang penghuni sebuah pangsapuri di Batu Caves membuat laporan polis terhadap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana didakwa menembak mati kera yang dikategorikan sebagai haiwan dilindungi.

Avatar Singh Kundu Singh, penghuni dan bekas pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri SunwayMas, mendakwa beliau melihat tiga pegawai Perhilitan berpakaian biasa melaksanakan operasi pada 13 Jun lalu.

“Ada tiga lelaki berpakaian biasa berdiri di sisi sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan pelekat Perhilitan dan mereka menembak kera menggunakan senapang,” kata lelaki berusia 59 tahun itu dalam laporannya yang dibuat di IPD Gombak.

Malah, Avatar mendakwa ada beberapa kera yang ditangkap kemudiannya dimasukkan dalam sangkar, ditembak dari jarak dekat.

Beliau berkata penduduk tidak diberitahu mengenai operasi itu menyebabkan ada yang terkejut mendengar bunyi tembakan, selain mendakwa bangkai haiwan berkenaan dibiarkan menyebabkan bau busuk.

Sementara itu, pengasas Lawyers for Animal Rights, Rajesh Nagarajan, menggambarkan operasi tersebut sebagai “kekejaman terhadap kera” yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Rajesh berkuasa Perhilitan sepatutnya menangkap dan memindahkan kera tersebut.

FMT telah menghubungi Perhilitan untuk menjawab dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.