Nazim Rahman dilantik pengerusi eksekutif Boustead

Nazim Rahman dilantik pengerusi eksekutif Boustead

Beliau yang juga Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera dilantik sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif BHB pada 2 Mac 2023.

Pelantikan Nazim Rahman sebagai pengerusi eksekutif itu berkuat kuasa hari ini untuk meneraju penstrukturan semula BHB. (Gambar LTAT)
KUALA LUMPUR:
Boustead Holdings Bhd (BHB) menamakan Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif kumpulan, Nazim Rahman sebagai pengerusi eksekutif berkuat kuasa hari ini untuk meneraju penstrukturan semula BHB.

Dalam kenyataan hari ini, BHB berkata Nazim yang juga Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dilantik sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif BHB pada 2 Mac 2023.

Berikutan kejayaan pengambilalihan oleh LTAT, pemegang saham tunggal terbesar BHB, saham dagangan BHB akan digantung pada Selasa (20 Jun) sebelum penarikan balik status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi Bursa Securities, selaras dengan perenggan 16.07 Keperluan Penyenaraian, menurut kenyataan itu.

Katanya kumpulan itu akan menjalani proses penstrukturan semula yang komprehensif melalui pelbagai usaha transformatif.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan BHB Izaddeen Daud berkata pelantikan semula ini akan memperkukuh kedudukan kepimpinan kumpulan, memberikan panduan yang lebih strategik dan keyakinan untuk kumpulan itu melakarkan masa depan lebih cerah.

“Penstrukturan semula BHB tepat pada masanya dan penting untuk memastikan kemampanan dan daya tahan kumpulan pada tahun-tahun akan datang. Pelantikan ini membolehkan kami mengoptimumkan portfolio dan memperuntukkan sumber kepada bidang perniagaan yang menawarkan pulangan lebih tinggi, memacu pertumbuhan mampan sambil memaksimumkan pulangan.

“Kami akan melaksanakan penjajaran strategi dengan LTAT dan berusaha ke arah satu tujuan bersama iaitu memastikan kemampanan LTAT sebagai sebuah tabung persaraan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.