E-dagang pacu industri logistik

E-dagang pacu industri logistik

Peningkatan kegiatan e-dagang semasa pandemik Covid-19 mendorong industri logistik memenuhi permintaan pengguna dan ekonomi.

Keyakinan dalam e-dagang dan beli-belah dalam talian meningkat sejak beberapa tahun lepas mendorong syarikat logistik menambah baik operasi mereka.
PETALING JAYA:
Apabila kedai fizikal di seluruh negara terpaksa ditutup ketika pandemik Covid-19, pengguna dan perniagaan tiada pilihan kecuali beralih kepada pasaran dalam talian, mencetuskan rangsangan besar buat sektor e-dagang.

Menurut syarikat analisis GlobalData, jualan melalui laman e-dagang di Malaysia berjumlah RM31.9 bilion pada 2021.

Dianggarkan pasaran e-dagang negara akan mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 16.1% mulai 2022 untuk mencapai nilai keseluruhan RM69.3 bilion pada 2026.

Bagaimanapun, pesanan pembelian dalam talian mungkin tidak dapat dipenuhi tanpa ekosistem logistik yang boleh diharapkan untuk menghantar barangan kepada pengguna.

FMT Business melihat bagaimana e-dagang mengubah tingkah laku pengguna serta mendorong pertumbuhan dalam industri logistik dan penambahbaikan dalam keseluruhan ekosistem digital negara.

Pertumbuhan industri logistik

Presiden Persatuan e-Dagang Rentas Sempadan Malaysia, Chin Chee Seong berkata, pandemik Covid-19 menjadi pemangkin kepada lonjakan pembelian e-dagang dan kegiatan logistik.

Hubungan ini saling menguntungkan. Seperti dinyatakan Chin, walaupun e-dagang membawa kepada pertumbuhan industri logistik, ia tidak akan berkembang jika tiada ekosistem logistik baik.

“Kedua-duanya memerlukan satu sama lain,” kata Chin.

Beliau berkata, ketika pengguna semakin selesa membeli dalam talian dan keyakinan mereka terhadap sistem itu meningkat, penting bagi syarikat logistik menyediakan perkhidmatan cekap, boleh dipercayai dan pantas.

Presiden Persatuan Logistik dan Rantai Pembekalan Malaysia, Veera Pandiyan Kaliani Sundram berkata, sektor logistik “berkembang” untuk memenuhi keperluan ekonomi dan trend pasaran berubah-ubah.

“Seiring pertumbuhan e-dagang di Malaysia, syarikat logistik memperkenalkan penyelesaian penghantaran batu terakhir yang inovatif untuk memenuhi permintaan pembeli dalam talian.”

Veera berkata, e-dagang mendorong syarikat logistik melabur dalam teknologi dan prasarana bagi meningkatkan keupayaan penghantaran mereka, sekali gus memainkan peranan penting dalam pengembangan sektor logistik.

Malah sebelum pandemik Covid-19, katanya, globalisasi dan peningkatan jumlah perdagangan dan kegiatan e-dagang membawa kepada pertumbuhan industri logistik.

Pertumbuhan dan cabaran mendatang

Veera berkata, industri logistik dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya kerana penerimaan e-dagang semakin meluas.

“Syarikat logistik memperoleh pengalaman dan pandangan berharga daripada menguruskan cabaran ketika pandemik, yang membawa kepada kecekapan dan ketangkasan operasi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pemain industri mula melabur dalam teknologi untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Bagaimanapun, katanya, pemain logistik mungkin berdepan cabaran baharu seperti jangkaan pengguna yang berubah, peningkatan persaingan dan keperluan menerima pakai amalan mampan.

Keperluan lebih besar untuk sokong penyedia logistik

Chin berkata, pada masa akan datang, syarikat logistik, terutamanya penyedia perkhidmatan logistik pihak ketiga (3PL) perlu mempunyai banyak gudang lebih dekat dengan pengguna supaya barangan dapat dihantar lebih cepat atau pada hari sama, yang akan menjadi kunci pertumbuhan industri serta e-dagang.

Syarikat 3PL menawarkan penyelesaian sehenti bagi rantaian bekalan perusahaan dalam pembungkusan, pergudangan, pengangkutan dan memenuhi pesanan.

Walaupun pandemik membawa keuntungan tidak dijangka, 3PL lebih cekap dan boleh dipercayai diperlukan untuk memastikan pertumbuhan industri e-dagang negara yang semakin berkembang.

Tetapi, sokongan industri dan peluang ekonomi lebih besar diperlukan untuk menjadikannya kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.